Wednesday, October 3, 2012

APA ITU ETIKA?



DEFINISI ETIKA
Tunjang kepada keharmonian sesebuah organisasi mahu pun komuniti adalah amalan etika yang baik. Etika adalah satu set prinsip yang digunakan untuk menentukan betul salah sesuatu tindakan. Etika juga menjadi cermin kepada kelakuan-kelakuan pelaku yang boleh diterima atau tidak dari segi akhlak. Dewasa kini terlalu banyak isu-isu berkaitan etika menjadi berita utama malah juga telah menjadi perbahasan di dewan rakyat. Etika sentiasa mengikut individu-individu yang dari sekecil-kecil jawatan sehinggalah ke jawatan tertinggi baik di sektor swasta mahu pun kerajaan. Tanpa etika, maka terjadilah amalan-amalan tidak sihat seperti rasuah, penyelewengan, dan sebagainya yang akhirnya membawa kepada keruntuhan sesebuah organisasi.

            Etika profesional dalam sesebuah organisasi pula adalah satu sistem yang digunakan untuk menilai prinsip moral sesuatu kumpulan yang dibentuk. Ini adalah  untuk mengawal prestasi setiap daripada mereka semasa menjalankan tugas dan penggunaan sumber yang dimiliki. Dari sudut profesionalisme, kod etika memainkan peranan yang penting untuk membentuk nilai tanggungjawab dan hubungan yang harmoni dikalangan ahli-ahlinya, institusi, dan juga komuniti yang sedia ada.


PEMBENTUKAN ETIKA INDIVIDU
Terdapat lima faktor yang membentuk etika individu. Antaranya adalah pengaruh keluarga, pengaruh rakan, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip moral, dan akhir sekali faktor keadaan.

           Pengaruh keluarga
Kanak-kanak amat suka sekali mengikut atau mencontohi etika dari kelakuan ibu bapa mereka. Sekiranya ibu bapa mereka mempunyai etika yang baik, maka akan baiklah etika yang dimiliki oleh kanak-kanak itu. Sebaliknya terjadi apabila ibu bapa mereka mempamerkan etika yang tidak baik, maka tingkah laku tersebut akan ditiru oleh mereka.

           Pengaruh rakan
Dalam kehidupan seseorang, pengaruh rakan sangat kuat untuk mendorongnya  melakukan sesuatu perkara samada baik atau tidak. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa untuk melihat perwatakan dan peribadi seseorang, lihat saja pada perwatakan rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu berkawan dengan seorang ulama’, maka dengan izin tuhan baiklah etika dan moralnya. Namun sekiranya seseorang itu berkawan dengan perompak, maka menjadi perompaklah juga ia suatu hari nanti.

           Pengalaman hidup
Banyak peristiwa penting berlaku dalam hidup seseorang, tidak kira peristiwa itu positif atau pun negatif bergantung kepada apa yang telah dialaminya. Jika perbuatan mencuri yang pernah dilakukan tidak pernah mendapat tentangan atau hukuman, maka seseorang itu akan beranggapan perbuatan itu tidak salah. Sebaliknya, sekiranya ia dihukum atas kesalahan tersebut maka ia sedar itu satu kesalahan dan berazam tidak mahu mengulanginya lagi pada masa akan datang.

           Nilai peribadi dan prinsip moral
Kedudukan seseorang di mata masyarakat kadang-kala boleh mencemarkan nilai peribadi dan prinsip moral yang ada pada dirinya. Seseorang yang mementingkan pangkat dan kekayaan sering kali bertindak berdasarkan keuntungan tanpa mengira kesan perbuatannya terhadap orang lain. Berlainan pula sekiranya seseorang itu mementingkan ikatan kekeluargaan, maka amalan etika yang ada dalam dirinya adalah sangat baik.

           Faktor keadaan
Keadaan persekitaran kadang-kala boleh merubah etika seseorang daripada baik menjadi tidak baik. Sebagai contoh, seorang ahli perniagaan boleh bertindak mengubah keuntungan perniagaan untuk mengurangkan cukai yang akan dikenakan. Begitu juga seorang pekerja bank boleh memalsukan akaun pelanggan untuk mengaut keuntungan secara sembunyi.


ETIKA DALAM PENGAJARAN DAN LATIHAN
Amalan etika yang tidak baik sering berlaku apabila sesorang individu itu mula meneroka dunia pekerjaan. Keadaan ini sepintas lalu membuat kita berfikir kembali pada peringkat manakah sepatutnya elemen etika ini dibaja dan disemai agar keperibadian seseorang individu itu kekal unggul dalam masyarakat. Pepatah orang-orang dahulu yang mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya menyedarkan kita bahawa betapa sistem pendidikan sebenarnya sangat menyumbang kepada pembentukan sahsiah individu. Lima faktor yang membentuk etika individu yang dibincang di atas tadi belum memadai kerana terdapat satu lagi faktor penting yang mungkin telah dipandang remeh oleh masyarakat. Faktor tersebut adalah pendidikan yang diterima oleh pelajar dari peringkat rendah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

            Dalam sistem pendidikan, selain daripada peranan pendidik yang mengajar, subjek dan silibus yang disampaikan kepada pelajar juga sangat mempengaruhi penghayatan pelajar terhadap amalan etika yang baik. Sejauh mana keberkesanan kurikulum dan ko-kurikulum membentuk etika pelajar masih lagi dalam pemantauan pihak yang bertanggungjawab. Ini kerana dalam dunia persekolahan dan kampus sendiri, amalan etika yang tidak baik masih belum dapat dibendung. Di sekolah, perbuatan membuli, memeras ugut, mencederakan, mahu pun vandaliseme masih lagi berlaku di kalangan pelajar. Begitu juga di universiti, amalan plagiarisme masih subur di kalangan mahasiswa/i walaupun tidak semuanya begitu. Amalan-amalan etika yang tidak baik ini sebenarnya sama sekali tidak dibenarkan berlaku di tempat menimba ilmu. Namun itulah yang terjadi apabila penghayatan mengenainya tidak sampai kepada pelajar.

            Walaupun demikian, kementerian terbabit sebenarnya telah banyak merangka pelbagai program untuk menerapkan prinsip etika dalam pengajaran dan pembelajaran. Di sekolah, subjek pendidikan moral, pendidikan Islam, sivik dan kewarganegaraan adalah antara beberapa subjek yang diajar untuk membentuk peribadi pelajar agar dapat menjadi pelapis yang beretika pada masa akan datang. Walaupun subjek-subjek tersebut tidak popular, namun ia mempunyai implikasi yang sangat besar untuk jangka masa panjang. Pendidikan moral misalnya mendidik pelajar untuk mengetahui nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri individu serta menilai buruk baik sesuatu tindakan. Pendidikan Islam pula mengajak pelajar untuk menghayati nilai akhlak dari sudut agama. Manakala sivik dan kewarganegaraan pula mendidik pelajar untuk menjadi individu yang bertanggungjawab ke atas diri, keluarga, masyarakat, dan juga negara.

            Dari aspek kokurikulum, pelbagai aktiviti telah diadakan agar semua pelajar mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang diadakan sebagai suatu bentuk pengisian masa yang berfaedah. Dalam masa yang sama, pelajar juga dapat mengasah bakat yang sedia ada mahupun mencungkil bakat yang terpendam. Antara modul-modul kokurikulum yang terdapat di sekolah-sekolah ialah pasukan pakaian seragam (kadet remaja sekolah, pengakap, bomba, dan sebagainya), persatuan akademik (persatuan sains, persatuan matematik, dan sebagainya), sukan dan olahraga, dan lain-lain lagi. Pasukan pakaian seragam misalnya banyak membentuk disiplin dan etika yang murni dikalangan pelajar. Pelajar diajar untuk menepati masa, menjaga kekemasan diri dan penampilan, patuh kepada ketua, ketahanan fizikal dan emosi, dan juga kerjasama ahli kumpulan. Begitu juga dengan persatuan akademik, pelajar dapat membentuk personaliti sebagai seorang pemimpin sekiranya dilantik mengetuai persatuan. Sukan dan olahraga pula melentur pelajar untuk menjadi seorang yang beriltizam, fokus pada sasaran, dan juga daya saing yang sihat. Ini semua adalah asas kepada jati diri individu apabila menjadi ahli masyarakat kelak.

Di samping itu, kerajaan juga telah mewajibkan program  latihan khidmat negara (PLKN) ke atas pelajar-pelajar yang telah selesai menduduki peperiksaan SPM. Tentu saja tujuannya hanyalah untuk terus memperkasakan lagi nilai etika dalam diri pelajar. Pelbagai modul telah diperkenalkan dan ditambahbaik setiap masa untuk menjadikan program tersebut menarik dan memberikan input yang positif dalam diri setiap peserta. Program ini bukan saja membawa faedah kepada peserta, malah juga kepada negara kerana dari sinilah lahirnya modal insan yang berwibawa untuk memacu kepimpinan negara. Masakan tidak, melalui program ini pelajar dari pelbagai kaum dibawa untuk mendekati masyarakat setempat dengan melakukan aktiviti berbentuk khidmat sosial. Nilai kemasyarakatan yang diperolehi peserta akan mematangkan mereka dari segala sudut. Begitu juga dengan modul kenegaraan, peserta diajar untuk menghayati sejarah pembentukan negara, rukun-rukun negara, dan sebagainya agar kelak kekal menjadi warganegara yang tidak lupa asal usul walau di mana pun berada.
           
            Di peringkat pengajian tinggi seperti di universiti atau kolej, pelbagai modul telah dirangka oleh ahli akademik untuk terus membentuk akhlak yang tulus dikalangan pelajarnya. Setiap jurusan yang diambil oleh pelajar pasti terkandung beberapa kursus yang berkaitan dengan amalan dan etika profesionalisme dalam prospek kerjaya kelak. Sama seperti di peringkat sekolah, pelajar universiti juga diwajibkan untuk menyertai persatuan-persatuan yang sedia ada. Teori etika yang diperolehi dalam kuliah saja belum cukup berkesan jika tidak diamalkan dalam kehidupan seharian. Jadi, melalui persatuanlah pelajar dilatih untuk mengendalikan projek persatuan dan universiti, jalinan kerjasama dengan pihak atasan, protokol, pengurusan kewangan dan sumber sedia ada, dan sebagainya. Penyertaan pelajar dalam kem tatabina negara juga menjadi satu agenda penting untuk membentuk sahsiah yang murni dikalangan mahasiswa/i agar kelak keluar menjadi tenaga kerja yang berdisiplin dan cemerlang.

APA ITU PERSATUAN?


         DEFINISI PERSATUAN

Persatuan didefinisikan sebagai “sesuatu entiti kumpulan yang berstruktur, berpelembagaan, berperaturan dan berkepimpinan. Di peringkat sekolah persatuan biasanya dianggotai oleh murid-murid sekolah yang mempunyai minat, kegemaran, hasrat dan kecenderungan yang sama serta bertujuan untuk saling bekerjasama, bantu-membantu dan berkongsi sumber dalam melaksanakan aktiviti dan mencapai cita-cita serta matlamat yaqng telah ditetapkan dan dipersetujui bersama bagi memperkembangkan minat, kegemaran, hasrat dan kecenderungan masing-masing. Persatuan juga didefinisikan sebagai satu gabungan, ikatan dan kumpulan. Mengikut kamus Oxford Edisi Kedua, persatuan ialah:

            “an association of people with mutual aims or interest, an organization of people formed for a particular and shared purpose: an association”,

...... bermaksud sejenis perkumpulan, gabungan atau perikatan yang dianggotai oleh individu-individu yang mempunyai tujuan dan matlamat yang sama.


2        KONSEP PERSATUAN

Menurut Peraturan 4 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Sekolah) tahun 1998, Warta Kerajaan P.U(A) 196 bertarikh 21 Mei 1998 menegaskan bahawa Guru Besar atau Pengetua, setelah menerima permohonan secara bertulis MESTILAH menubuhkan persatuan sekolah dari kategori yang berikut iaitu: 
  • Mata pelajaran diajar di sekolah yang dinyatakan dalam Peraturan Pendidikan
  • Hobi dan rekreasi
  • Sukan dan permainan
  • Badan beruniform Atau
  • Apa-apa persatuan  lain yang diluluskan oleh pendaftar.
 
          TUJUAN PENUBUHAN PERSATUAN

Usaha menubuhkan persatuan di sekolah adalah usaha kependidikan yang penting, khususnya untuk menyemai dan memupuk prinsip, kaedah dan kemahiran kepimpinan dikalangan murid di samping membangunkan diri mereka menjadi insan yang mewarisi dan menghayati keseluruhan ciri-ciri kecemerlangan murid yang tersurat dan tersirat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sehingga kini insiatif dan usaha sekolah menubuhkan persatuan yang dipimpin, dianggotai dan digerakkan oleh murid-murid amatlaj menggalakkan. Insiatif dan usaha ini akan memberi impak yang lebih besar dalam mengangkat kegiatan kokurikulum sebagai sebahagian daripada program pendidikan di sekolah apabila pengetahuan, kesungguhan dan kemahiran murid-murid memimpin, mengurus dan mengoperasikan persatuan yang ditubuhkan itu dipertingkatkan secara bersepadu dan berterusan. Sebagai contoh murid-murid yang mempunyai minat, kegemaran, hasrat dan kecenderungan yang sama akan berpeluang
  •       Merancang dan melaksanakan aktiviti dan kegiatan berkumpulan.
  •        Berkongsi pengetahuan & pengalaman dalam bidang yang diminati & digemari.
  •       Menetapkan matlamat yang dipersetujui dan dilaksanakan bersama.
  •       Berkongsi sumber & peralatan.
  •       Wujudkan peluang untuk murid mengembangkan bakat & potensi kepimpinan.   
  •       Wujudkan wahana kepada murid-murid agar bakat & potensi dapat ditingkatkan.


          OBJEKTIF PENUBUHAN PERSATUAN

 Objektif Am
          Guru-Guru dan murid-murid akan:
  •  Mengetahui dan memahami ciri-ciri dan nilai-nilai kepimpinan yang diperlukan untuk memimpin, mengurus dan mengoperasikan kelab atau persatuan di sekolah.
  •  Mengetahui dan memahami kaedah, stategi dan prinsip pengurusan kelab atau persatuan secara berkesan.
  • Mengetahui dan memahami kaedah dan stategi memimpin dan memotivasikan ahli-ahli kelab atau persatuan yang dipimpin
  • Mempunyai pengetahuan dan kemahiran merancang, mengelola, menyelia dan menilai aktiviti dan kegiatan kelab atau persatuan yang dipimpin.
  • Mempunyai keyakinan diri sebagai pemimpin yang berwibawa, berketrampilan dan berwawasan.
Objektif Khusus
  • Menjelaskan matlamat dan tujuan penubuhan kelab atau persatuan di sekolah dalam konteks kependidikan dan kepimpinan.Menjelaskan kaedah dan tatacara penubuhan   kelab atau persatuan.
  • Menjelaskan kaedah dan tatacara pentadbiran dan pengurusan kelab atau persatuan.
  • Menjelaskan kaedah dan tatacara pengurusan dan pengelolaan aktiviti dan kegiatan kelab atau persatuan di sekolah berdasarkan perancangan dan undang-undang.
  • Membentang dan menjelaskan ciri-ciri dan nilai-nilai asas kepimpinan.
  • Menjelaskan tanggungjawab dan peranan murid-murid sebagai warganegara berdasarkan Rujunegara, perlembagaan negara dan Wawasan 2020.

          RASIONAL

Berdasarkan hakikat kejadian insan, setiap murid mempunyai bakat dan potensi untuk memimpin, sekurang-kurangnya untuk memimpin diri sendiri menjadi apa yang diinginkan. Walau bagaimanapun pengetahuan, kesungguhan dan kemahiran memimpin, mengurus dan mengoperasikan sesuatu kelab atau persatuan bukanlah warisan semula jadi. Pengetahuan, kesungguhan dan kemahiran ini sebaliknya boleh diperolehi melalui proses-proses pengajaran dan pembelajaran formal dan tidak formal, pengalaman secara langsung, perkongsian pemikiran, pengalaman dan latihan.


          MATLAMAT
Agar dapat membantu guru dan murid-murid merancang dan melaksanakan dengan bermatlamat untuk melahirkan insan yang berwibawa, berketrampilan dan berkeyakinan tinggi sebagai pemimpin di sekolah dan berpotensi mengembangkan bakat dan upaya kepimpinan masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang-bidang yang diceburi pada masa akan datang.