DEFINISI
ETIKA
Tunjang
kepada keharmonian sesebuah organisasi mahu pun komuniti adalah amalan etika
yang baik. Etika adalah satu set prinsip yang digunakan untuk menentukan betul
salah sesuatu tindakan. Etika juga menjadi cermin kepada kelakuan-kelakuan
pelaku yang boleh diterima atau tidak dari segi akhlak. Dewasa kini terlalu
banyak isu-isu berkaitan etika menjadi berita utama malah juga telah menjadi
perbahasan di dewan rakyat. Etika sentiasa mengikut individu-individu yang dari
sekecil-kecil jawatan sehinggalah ke jawatan tertinggi baik di sektor swasta
mahu pun kerajaan. Tanpa etika, maka terjadilah amalan-amalan tidak sihat
seperti rasuah, penyelewengan, dan sebagainya yang akhirnya membawa kepada
keruntuhan sesebuah organisasi.
Etika
profesional dalam sesebuah organisasi pula adalah satu sistem yang digunakan
untuk menilai prinsip moral sesuatu kumpulan yang dibentuk. Ini adalah untuk mengawal prestasi setiap daripada
mereka semasa menjalankan tugas dan penggunaan sumber yang dimiliki. Dari sudut
profesionalisme, kod etika memainkan peranan yang penting untuk membentuk nilai
tanggungjawab dan hubungan yang harmoni dikalangan ahli-ahlinya, institusi, dan
juga komuniti yang sedia ada.
PEMBENTUKAN ETIKA INDIVIDU
Terdapat
lima faktor yang membentuk etika individu. Antaranya adalah pengaruh keluarga,
pengaruh rakan, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip moral, dan akhir
sekali faktor keadaan.
• Pengaruh
keluarga
Kanak-kanak amat suka sekali
mengikut atau mencontohi etika dari kelakuan ibu bapa mereka. Sekiranya ibu
bapa mereka mempunyai etika yang baik, maka akan baiklah etika yang dimiliki
oleh kanak-kanak itu. Sebaliknya terjadi apabila ibu bapa mereka mempamerkan
etika yang tidak baik, maka tingkah laku tersebut akan ditiru oleh mereka.
• Pengaruh
rakan
Dalam kehidupan seseorang,
pengaruh rakan sangat kuat untuk mendorongnya
melakukan sesuatu perkara samada baik atau tidak. Sesetengah pendapat
mengatakan bahawa untuk melihat perwatakan dan peribadi seseorang, lihat saja
pada perwatakan rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu
berkawan dengan seorang ulama’, maka dengan izin tuhan baiklah etika dan
moralnya. Namun sekiranya seseorang itu berkawan dengan perompak, maka menjadi
perompaklah juga ia suatu hari nanti.
• Pengalaman
hidup
Banyak peristiwa penting berlaku
dalam hidup seseorang, tidak kira peristiwa itu positif atau pun negatif
bergantung kepada apa yang telah dialaminya. Jika perbuatan mencuri yang pernah
dilakukan tidak pernah mendapat tentangan atau hukuman, maka seseorang itu akan
beranggapan perbuatan itu tidak salah. Sebaliknya, sekiranya ia dihukum atas
kesalahan tersebut maka ia sedar itu satu kesalahan dan berazam tidak mahu
mengulanginya lagi pada masa akan datang.
• Nilai
peribadi dan prinsip moral
Kedudukan seseorang di mata
masyarakat kadang-kala boleh mencemarkan nilai peribadi dan prinsip moral yang
ada pada dirinya. Seseorang yang mementingkan pangkat dan kekayaan sering kali
bertindak berdasarkan keuntungan tanpa mengira kesan perbuatannya terhadap
orang lain. Berlainan pula sekiranya seseorang itu mementingkan ikatan
kekeluargaan, maka amalan etika yang ada dalam dirinya adalah sangat baik.
• Faktor
keadaan
Keadaan persekitaran kadang-kala
boleh merubah etika seseorang daripada baik menjadi tidak baik. Sebagai contoh,
seorang ahli perniagaan boleh bertindak mengubah keuntungan perniagaan untuk
mengurangkan cukai yang akan dikenakan. Begitu juga seorang pekerja bank boleh
memalsukan akaun pelanggan untuk mengaut keuntungan secara sembunyi.
ETIKA DALAM PENGAJARAN DAN LATIHAN
Amalan
etika yang tidak baik sering berlaku apabila sesorang individu itu mula
meneroka dunia pekerjaan. Keadaan ini sepintas lalu membuat kita berfikir
kembali pada peringkat manakah sepatutnya elemen etika ini dibaja dan disemai
agar keperibadian seseorang individu itu kekal unggul dalam masyarakat. Pepatah
orang-orang dahulu yang mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya
menyedarkan kita bahawa betapa sistem pendidikan sebenarnya sangat menyumbang
kepada pembentukan sahsiah individu. Lima faktor yang membentuk etika individu
yang dibincang di atas tadi belum memadai kerana terdapat satu lagi faktor
penting yang mungkin telah dipandang remeh oleh masyarakat. Faktor tersebut
adalah pendidikan yang diterima oleh pelajar dari peringkat rendah sehinggalah
ke peringkat pengajian tinggi.
Dalam
sistem pendidikan, selain daripada peranan pendidik yang mengajar, subjek dan
silibus yang disampaikan kepada pelajar juga sangat mempengaruhi penghayatan
pelajar terhadap amalan etika yang baik. Sejauh mana keberkesanan kurikulum dan
ko-kurikulum membentuk etika pelajar masih lagi dalam pemantauan pihak yang
bertanggungjawab. Ini kerana dalam dunia persekolahan dan kampus sendiri,
amalan etika yang tidak baik masih belum dapat dibendung. Di sekolah, perbuatan
membuli, memeras ugut, mencederakan, mahu pun vandaliseme masih lagi berlaku di
kalangan pelajar. Begitu juga di universiti, amalan plagiarisme masih subur di
kalangan mahasiswa/i walaupun tidak semuanya begitu. Amalan-amalan etika yang
tidak baik ini sebenarnya sama sekali tidak dibenarkan berlaku di tempat menimba
ilmu. Namun itulah yang terjadi apabila penghayatan mengenainya tidak sampai
kepada pelajar.
Walaupun
demikian, kementerian terbabit sebenarnya telah banyak merangka pelbagai
program untuk menerapkan prinsip etika dalam pengajaran dan pembelajaran. Di
sekolah, subjek pendidikan moral, pendidikan Islam, sivik dan kewarganegaraan
adalah antara beberapa subjek yang diajar untuk membentuk peribadi pelajar agar
dapat menjadi pelapis yang beretika pada masa akan datang. Walaupun
subjek-subjek tersebut tidak popular, namun ia mempunyai implikasi yang sangat
besar untuk jangka masa panjang. Pendidikan moral misalnya mendidik pelajar
untuk mengetahui nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri individu serta
menilai buruk baik sesuatu tindakan. Pendidikan Islam pula mengajak pelajar
untuk menghayati nilai akhlak dari sudut agama. Manakala sivik dan
kewarganegaraan pula mendidik pelajar untuk menjadi individu yang
bertanggungjawab ke atas diri, keluarga, masyarakat, dan juga negara.
Dari aspek kokurikulum, pelbagai
aktiviti telah diadakan agar semua pelajar mengambil bahagian dalam setiap
aktiviti yang diadakan sebagai suatu bentuk pengisian masa yang berfaedah.
Dalam masa yang sama, pelajar juga dapat mengasah bakat yang sedia ada mahupun
mencungkil bakat yang terpendam. Antara modul-modul kokurikulum yang terdapat
di sekolah-sekolah ialah pasukan pakaian seragam (kadet remaja sekolah,
pengakap, bomba, dan sebagainya), persatuan akademik (persatuan sains,
persatuan matematik, dan sebagainya), sukan dan olahraga, dan lain-lain lagi.
Pasukan pakaian seragam misalnya banyak membentuk disiplin dan etika yang murni
dikalangan pelajar. Pelajar diajar untuk menepati masa, menjaga kekemasan diri
dan penampilan, patuh kepada ketua, ketahanan fizikal dan emosi, dan juga
kerjasama ahli kumpulan. Begitu juga dengan persatuan akademik, pelajar dapat
membentuk personaliti sebagai seorang pemimpin sekiranya dilantik mengetuai
persatuan. Sukan dan olahraga pula melentur pelajar untuk menjadi seorang yang
beriltizam, fokus pada sasaran, dan juga daya saing yang sihat. Ini semua
adalah asas kepada jati diri individu apabila menjadi ahli masyarakat kelak.
Di
samping itu, kerajaan juga telah mewajibkan program latihan khidmat negara (PLKN) ke atas
pelajar-pelajar yang telah selesai menduduki peperiksaan SPM. Tentu saja
tujuannya hanyalah untuk terus memperkasakan lagi nilai etika dalam diri
pelajar. Pelbagai modul telah diperkenalkan dan ditambahbaik setiap masa untuk
menjadikan program tersebut menarik dan memberikan input yang positif dalam
diri setiap peserta. Program ini bukan saja membawa faedah kepada peserta,
malah juga kepada negara kerana dari sinilah lahirnya modal insan yang
berwibawa untuk memacu kepimpinan negara. Masakan tidak, melalui program ini
pelajar dari pelbagai kaum dibawa untuk mendekati masyarakat setempat dengan
melakukan aktiviti berbentuk khidmat sosial. Nilai kemasyarakatan yang
diperolehi peserta akan mematangkan mereka dari segala sudut. Begitu juga
dengan modul kenegaraan, peserta diajar untuk menghayati sejarah pembentukan
negara, rukun-rukun negara, dan sebagainya agar kelak kekal menjadi warganegara
yang tidak lupa asal usul walau di mana pun berada.
Di
peringkat pengajian tinggi seperti di universiti atau kolej, pelbagai modul
telah dirangka oleh ahli akademik untuk terus membentuk akhlak yang tulus
dikalangan pelajarnya. Setiap jurusan yang diambil oleh pelajar pasti
terkandung beberapa kursus yang berkaitan dengan amalan dan etika
profesionalisme dalam prospek kerjaya kelak. Sama seperti di peringkat sekolah,
pelajar universiti juga diwajibkan untuk menyertai persatuan-persatuan yang
sedia ada. Teori etika yang diperolehi dalam kuliah saja belum cukup berkesan
jika tidak diamalkan dalam kehidupan seharian. Jadi, melalui persatuanlah
pelajar dilatih untuk mengendalikan projek persatuan dan universiti, jalinan
kerjasama dengan pihak atasan, protokol, pengurusan kewangan dan sumber sedia
ada, dan sebagainya. Penyertaan pelajar dalam kem tatabina negara juga menjadi
satu agenda penting untuk membentuk sahsiah yang murni dikalangan mahasiswa/i
agar kelak keluar menjadi tenaga kerja yang berdisiplin dan cemerlang.